JEJU: Beberapa kejadian kemalangan jalan raya dan penerbangan dibatalkan akibat salji tebal melanda wilayah selatan Korea Selatan pada Ahad.

Setakat 9.10 pagi, sebanyak 95 penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju dibatalkan.

Hanya enam penerbangan domestik daripada 231 penerbangan yang dijadualkan pada Ahad beroperasi secara biasa, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik pihak berkuasa penerbangan Jeju.

Amaran angin kencang turut dikeluarkan selepas lapangan terbang itu diselimuti salji tebal pada awal hujung minggu.

Ibu Pejabat Perkhidmatan Bomba Jeonnam di Muan yang terletak kira-kira 380 kilometer dari selatan Seoul di Wilayah Jeolla Selatan, memaklumkan pihaknya telah menerima sembilan laporan mengenai kemalangan jalan raya pada pagi Ahad.

Bagaimanapun Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon yang terletak di barat Seoul, menegaskan tiada pembatalan penerbangan akibat cuaca buruk setakat pagi Ahad.

-- BERNAMA